9 Tip Berkesan Didik Anak Supaya Suka Membaca Tanpa Dipaksa
Ramai ibu bapa mahukan anak-anak yang minat dan pandai membaca. Kebolehan membaca sangat diperlukan oleh anak-anak kerana ia merupakan pintu utama untuk mereka memperoleh maklumat baharu, berkomunikasi dan mengembangkan daya imaginasi mereka. Jadi, bagaimana ingin memikat anak supaya minat membaca? Berikut saya kongsikan sembilan tip mudah yang ibu bapa boleh praktikkan untuk memupuk minat membaca di kalangan anak-anak, tanpa perlu memaksa mereka.
Tip No. 1- Ibu bapa sebagai model
Tip ini merupakan tip yang paling penting. Sekiranya kita mahukan anak yang suka membaca, maka kita mestilah lebih dahulu suka membaca. Tunjukkan contoh kepada anak betapa seronoknya membaca, dan perlahan-lahan ajak anak ikut membaca bersama kita atau bacakan cerita untuk mereka. Anak akan meniru tabiat membaca ibu bapa. Jika anak lihat ibu bapa leka bermain telefon bimbit sahaja, bagaimanakah mereka mahu mencontohi kita?
Tip No. 2- Bermula awal
Biasakan anak dengan buku sejak kecil, hatta ketika anak masih di dalam kandungan lagi. Deria pendengaran merupakan antara deria terawal yang terbentuk pada bayi dan bayi boleh mendengar suara ibu. Ibu digalakkan untuk mengaji, membaca buku dan berbual-bual dengan anak di dalam kandungan. Jadikan buku sebagai objek yang tidak asing dalam hidup anak-anak. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Tip No. 3- Buku yang sesuai
Gunakan buku yang sesuai mengikut peringkat umur anak. Contohnya, untuk bayi dan anak yang berumur di bawah 2 tahun, bacakan buku yang mempunyai gambar yang menarik, warna yang terang dan bahasa yang ringkas.
Tip No. 4- Luangkan masa
Sesibuk mana pun kita dengan aktiviti harian, luangkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk sesi membaca bersama anak. Jadikan sesi membaca ini sebagai rutin harian keluarga. Pilihlah waktu yang sesuai misalnya apabila kita dan anak berada dalam mood yang tenang, contohnya sebelum tidur.
Tip No. 5- Nada suara yang menarik
Pelbagaikan nada suara semasa membaca buku bersama anak. Bacaan yang mendatar dengan satu nada sahaja akan membuatkan anak-anak cepat bosan. Anak-anak akan bersemangat untuk mendengar cerita sehingga tamat sekiranya ibu bapa menggunakan nada yang menarik dan membuat bunyi-bunyi yang berkaitan seperti bunyi singa, bunyi katak atau apa sahaja bunyi yang dapat menambahkan pemahaman dan menarik perhatian mereka.
Tip No. 6 – Kunjungi perpustakaan/kedai buku
Gunakan masa terluang pada hujung minggu untuk membawa anak-anak berkunjung ke kedai buku atau perpustakaan walaupun kita tidak berniat untuk membeli atau meminjam sebarang buku. Biarkan anak-anak membaca di situ dan menghabiskan masa mereka dengan dikelilingi buku-buku.
Tip No. 7 – Hadiah buku
Raikan pencapaian anak-anak dengan memberi mereka buku sebagai hadiah. Jangan lokek untuk keluarkan duit membeli hadiah buku untuk anak. Bawa anak pilih sendiri buku apa yang mereka mahu beli dan baca.
Tip No. 8- Ruang membaca
Seperti mana di dalam rumah ada ruang khas untuk tidur, makan, mandi dan sebagainya, perlu juga ada ruang khas untuk membaca. Sediakan ruang membaca di rumah yang senang diakses oleh anak. Tidak perlu seluas perpustakaan, cukuplah dengan satu sudut yang selesa dan pencahayaan yang baik.
Tip No. 9- Peluk, cium dan puji
Selepas habis sesi membaca, peluk, cium dan pujilah anak-anak. Ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka dan membuatkan mereka semakin suka membaca.
Kesimpulan
Apa yang paling penting ialah usaha ibu bapa untuk meluangkan masa membaca bersama anak-anak. Jadikan membaca satu budaya. Semoga berhasil!