Waktu Bermain Penting Untuk Kanak-Kanak
Dari sudut saintifik, waktu bermain bagi kanak-kanak penting untuk mereka dari segi pembelajaran serta perkembangan psikomotor. Bermain dengan alatan permainan mampu membantu dalam pembentukan fikiran dan pembangunan minda kanak-kanak.
Melalui satu kajian yang dijalankan oleh Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia, membenarkan kanak-kanak bermain menggunakan alatan permainan mampu membantu dalam proses perkembangan minda mereka.
Waktu bermain bukan sahaja membentuk minda yang lebih berkembang tetapi juga memberi impak positif terhadap kemahiran sosial mereka. Jika tidak, mereka berkemungkinan berhadapan dengan masalah berkaitan sosial ketika usia remaja.
Hasil kajian tersebut telah mendorong Presiden Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia, Datin Wong Poai Hong, menubuhkan perpustakaan permainan bagi membantu menyediakan akses kepada permainan bagi kanak-kanak yang kurang berkemampuan.
Menurutnya, hampir 20 peratus masalah yang dihadapi remaja pada masa kini berkaitan dengan isu sosial dan emosi. Masalah ini berpunca daripada pengalaman mereka pada usia muda.
"80 ke 90 peratus pertumbuhan minda berlaku dari waktu dilahirkan sehingga 5 tahun. Oleh itu, jika ingin memupuk sikap baik dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa harus fokus kepada lima tahun pertama anak mereka," katanya.
Tambah beliau lagi, perpustakaan permainan itu juga menggalakkan komunikasi yang lebih erat antara anak-anak dan ibu bapa.
Melihat kepada hasil kajian di atas, ibu bapa perlu memberikan masa bermain kepada anak-anak. Ketika mereka masih kecil, ini adalah saat terbaik untuk membentuk pelbagai kemahiran, nilai serta perlakuan positif dalam diri anak anda. Pada masa yang sama, anda juga boleh tetapkan berapa lama masa bermain untuk anak anda.
Contohnya anda beri mereka masa selama dua jam setiap petang untuk masa bermain mereka.
INFO PERPUSTAKAAN PERMAINAN DI MALAYSIA:
* Perpustakaan permainan yang pertama di Malaysia ditubuhkan 10 tahun yang lalu.
* Ketika ini, terdapat hampir 40 perpustakaan permainan di seluruh Malaysia, di mana kebanyakkannya tertumpu di kawasan pedalaman.