Mengapa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sangat Penting?
Kanak-kanak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi pelapis generasi negara. Pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka pada masa akan datang. Namun, ramai yang tidak tahu cara untuk mencorakkan kanak-kanak mengikut acuan yang betul.
Penting atau tidak pendidikan awal kanak-kanak?
Lapan tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah tempoh yang penting untuk perkembangan otaknya. Ketika peringkat umur awal kanak-kanak, pembelajaran dan perkembangan mereka dari segi mental, emosi dan sosial adalah amat kritikal. Disebabkan itulah, pendidikan awal kanak-kanak dianggap sebagai pelaburan yang cukup penting oleh ibu bapa buat anak mereka.
Pendidikan awal menyediakan generasi yang mempunyai daya ketahanan untuk menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, menumpukan perhatian dan membina daya keintelektualan.
Pembinaan bangsa dan tamadun juga bermula dengan pendidikan. Oleh itu, pendidikan sejak kecil haruslah ditekankan.
Apakah maksud pendidikan awal kanak-kanak?
Mungkin ada yang tidak pasti maksud sebenar pendidikan awal kanak-kanak. Pendidikan awal kanak-kanak didefinisikan sebagai program berkualiti tinggi yang direka khas untuk kanak-kanak dari sejak mereka lahir hingga usia 8 tahun.
Di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak menggunakan istilah prasekolah, taska, tadika atau tabika yang melibatkan kanak-kanak berumur di bawah enam tahun. Kanak-kanak di peringkat usia ini akan diajar oleh tenaga pengajar yang mahir dalam suasana pembelajaran yang sesuai dengan usia mereka.
Persepsi ibu bapa dulu & sekarang
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan asas yang terbaik dan kukuh kepada anak-anak mereka. Jika dahulu, pendidikan asas untuk anak-anak adalah semasa usia mereka enam tahun, iaitu sebelum mula bersekolah di darjah satu. Namun kini, ramai ibu bapa yang sudah mula ‘celik mata’ dengan memasukkan anak mereka ke prasekolah seawal usia tiga hingga lima tahun.
Berbeza dengan keadaan kini, di mana senario menghantar anak berusia empat dan lima tahun ke prasekolah adalah perkara yang normal. Malah, kesedaran ibu bapa tentang pendidikan awal kanak-kanak juga semakin meningkat di mana seusia bayi lagi ada ibu bapa yang memasukkan anak ke playgroup, pusat pengayaan dan prasekolah.
Kepentingan pendidikan awal kanak-kanak
Pelbagai kajian telah dijalankan oleh pakar kanak-kanak. Dan hasil membuktikan bahawa kanak-kanak yang memulakan sesi pembelajaran di prasekolah dapat mempelajari banyak perkara, lebih daripada mereka yang terus ke sekolah rendah.
Di prasekolah juga, kanak-kanak ini turut didedahkan dengan pembelajaran nombor, huruf dan bentuk sama seperti apa yang mereka akan pelajari di tadika.
Selain itu, anak anda juga akan belajar cara bersosial dengan rakan sebaya, mahupun orang yang lebih besar dari mereka (guru). Lazimnya, di prasekolah, anak anda akan belajar untuk bergaul dengan rakan-rakan, belajar berkongsi dan bertolak-ansur.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak juga akan belajar cara menghormati orang lain dan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Prasekolah menyediakan tempat untuk anak anda mengenal diri mereka, mengembangkan karakter positif dalam diri mereka dan meningkatkan keyakinan diri.
Malah, jika anda perhatikan, anak di usia empat hingga lima tahun mempunyai sifat ingin tahu, dan akan sering bertanyakan perkara-perkara di sekeliling mereka seperti mengapa burung terbang atau bagaimana ikan boleh hidup di dalam air.
Kesimpulannya, banyak perkara yang anak anda akan pelajari di prasekolah terutama yang berkaitan dengan pembelajaran kendiri.
INFO: Pembelajaran di prasekolah amat berbeza dengan yang ada di sekolah, di mana kanak-kanak akan belajar tentang sesuatu perkara secara santai. Malah, kebanyakan prasekolah menggunakan teknik bermain sambil belajar supaya kanak-kanak lebih tertarik mendalami ilmu.