7 Tip Dari Guru Prasekolah Kepada Ibu Bapa
Jom kita baca apa yang guru prasekolah kongsikan mengenai pengalaman mereka menjaga kanak-kanak di prasekolah!
Jom kita baca apa yang guru prasekolah kongsikan mengenai pengalaman mereka menjaga kanak-kanak di prasekolah!
Rajin Membaca
Bacakan buku cerita kepada anak anda sendiri. Saya tahu kemahiran membaca buku cerita amat penting untuk menarik minat kanak-kanak. Penceritaan yang baik boleh dikatakan sebagai ‘magic’ dan mempunyai kekuatannya tersendiri. Penyampaian cerita dengan gaya dan ekspresi yang menarik mampu menarik minat kanak-kanak untuk terus fokus. Ia juga dapat membantu kanak-kanak untuk lebih dekat dan mesra dengan saya.
Aktiviti Menggunakan Muzik
Biasakan persekitaran anak anda dengan dendangan muzik! Tidak kira sama ada muzik yang berunsurkan ilmiah atau aktiviti nyanyian yang menyeronokkan. Pendedahan kepada muzik juga membantu meningkatkan tahap pertuturan, komunikasi, ingatan serta menguatkan kemahiran bersosial mereka.
Bertanggungjawab
Pastikan anak anda bertanggungjawab dalam apa juga perkara yang dilakukan. Contohnya, menjaga kebersihan kelas, membersihkan ruang makan selepas rehat, bersedia untuk memulakan hari persekolahan serta apabila tiba di rumah. Latih anak anda untuk lakukan semua perkara ini di rumah dan anda boleh lihat sendiri sejauh mana kebolehan mereka.
Hiburkan mereka
Biarkan mereka bebas bermain, ketawa dan bermesra dengan kanak-kanak lain atau membuat sepah. Untuk aktiviti yang lebih menyeronokkan, ajak mereka bercucuk tanam, mencipta tanah liat (play doh) sendiri dan pelbagai aktiviti lain yang boleh menunjukkan kebolehan mereka.
Berikan perhatian sepenuhnya apabila mereka ingin menceritakan perkara-perkara yang mengembirakan sepanjang hari mereka di prasekolah. Prasekolah adalah tempat dan masa untuk anak anda membina keyakinan diri, kehidupan sosial, persahabatan dan keseronokan.
Mulakan Perbualan
Elakkan memasang video atau DVD player di dalam kereta kerana itu adalah masa yang tepat untuk berkomunikasi dengan anak-anak anda. Tanya soalan yang membolehkan mereka berkomunikasi dan pastikan perbualan itu berterusan. Ini kerana kanak-kanak yang lebih aktif berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik cenderung untuk lebih cemerlang serta menonjol dalam akademik.
Pantau Anak Anda
Minta kebenaran guru prasekolah anak anda untuk hadir ke kelas mereka bagi melihat perkembangan dan penglibatan anak anda di dalam kelas. Pastikan anda beritahu terlebih dahulu kepada anak anda bahawa anda akan datang ke kelasnya. Anda tidak digalakkan untuk melakukan perkara ini terlalu kerap kerana mungkin akan menjejaskan tumpuan anak anda ketika di dalam kelas.
Habiskan Masa Bersama
Kami sangat menggalakkan anda untuk meluangkan masa yang lebih banyak bersama anak anda. Semestinya anda akan dapat lebih banyak input dari anak anda, lebih-lebih lagi tentang kebolehan dan peningkatannya dalam pelbagai aspek. Apabila anda dapat memberi sepenuh perhatian kepada anak anda, sudah pasti mereka akan rasa lebih disayangi dan secara tidak langsung menaikkan semangat untuk terus berkembang. Tinggalkan semua aktiviti sosial media serta televisyen anda. Habiskan masa terluang anda bersama anak-anak. Bagi mereka rasa bahawa mereka adalah orang terpenting dalam hidup anda.