Aktiviti Bermain Pasir Sejak Kecil Bantu Asah Minda Kanak-Kanak
Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk mencipta permainan atau aktiviti yang boleh membantu merangsang minda anak anda.
Jika anda mahu anak anda berkembang dengan baik dan cepat, ada kalanya anda tidak perlu menghabiskan wang semata-mata untuk membeli permainan yang mahal kerana aktiviti bermain pasir boleh dikatakan hanya memerlukan kos yang sangat rendah.
Kepada anda yang tinggal berdekatan kawasan pantai, anda boleh membawa anak anda ke sana sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali seminggu untuk bermain pasir.
Anda hanya perlu bawa peralatan yang sudah sedia ada di rumah contohnya baldi, cawan plastik, mangkuk dan sebagainya. Kalau nak beli peralatan permainan pasir di kedai permainan pun boleh juga. Bergantung kepada bajet anda.
Menurut penulisan dalam buku 100 Aktiviti Untuk Anak, aktiviti bermain pasir mampu membantu perkembangan anak anda.
1) Merangsang motor halus kanak-kanak
Bagaimana aktiviti ini boleh merangsang motor halus anak anda? Begini, pergerakan tangan seperti menggengam, menghancurkan dan menggumpal pasir dapat membantu membina otot kasar dan otot halus kanak-kanak. Lepaskan anak anda untuk berlari, melompat, berguling dan menggali pasir.
2) Pemikiran Kreatif
Anak anda boleh membentuk sesuatu objek menggunakan pasir. Contoh yang paling selalu kanak-kanak suka buat adalah istana pasir. Dari situ kita boleh lihat kreativiti anak anda berimaginasi dan berfikir bagaimana rupa atau bentuk istana. Selain itu, aktiviti ini juga dikenali sebagai terapi untuk kanak-kanak yang mengalami autisme.
3) Deria lebih peka
Pasir adalah bahan deria sesuai untuk kanak-kanak yang suka kepada sentuhan. Kanak-kanak dapat rasa bagaimana tekstur pasir sebenar, warna dan bau. Ini adalah pengalaman baru untuk anak anda yang tidak pernah bermain dengan pasir.
4) Perkembangan Bahasa & Sosial
Ajak anak anda bermain dengan kawan yang lain. Contohnya anda boleh ajak anak rakan-rakan atau keluarga lain untuk bermain bersama. Ini menggalakkan anak anda untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan memberi perkembangan dalam kemahiran sosial mereka.
5) Aktiviti Menggembirakan
Bermain pasir adalah aktiviti yang amat menceriakan kanak-kanak. Boleh main dengan pelbagai cara. Contohnya menggunakan acuan. Aktiviti ini boleh membina kreativiti anak seperti bina highway/trek untuk kereta mainan, buat bangunan, buat tempat tinggal binatang dan sebagainya.
Kalau anda nak tahu, sekarang ada pasir yang boleh beli dan main dirumah. Namanya "kinetic sand" dan anda boleh di dapati di mana-mana kedai permainan berdekatan anda.